Wednesday 24 February 2010

Kebolehpercayaan Pegawai Kanan PDRM

Siasatan Awam oleh SUHAKAM terhadap tahanan lima orang peguam sukarela dari Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur) iaitu Ravinder Singh, Fadiah Nadwa Fikri, Puspawati Rosman, Murnie Hidayah Anuar dan Syuhaini Binti Safwan apabila menjalankan tugas sebagai peguambela dan peguamcara, telah berlangsung sejak 14hb Ogos 2009. 23hb Februari 2010 merupakan tarikh pendengaran terakhir siasatan awam ini dan panel pesuruhjaya telah menetapkan 6hb Mac 2010 untuk mendengar hujahan daripada semua pihak yang terbabit dan/ atau hadir sebagai pihak yang berkepentingan dan/ atau sebagai pemerhati.


Siasatan awam ini menjadi hangat apabila panel pesuruhjaya dimaklumkan oleh pegawai SUHAKAM bahawa saksi-saksi dari pihak PDRM enggan merekodkan keterangan dan menuntut bahawa SUHAKAM tidak ada kuasa untuk mengarahkan dan/ atau memaksa mereka untuk merekodkan keterangan. Pihak PDRM mendakwa bahawa SUHAKAM hanya diberi kuasa untuk subpoena mereka bagi memberi keterangan lisan semasa pendengaran siasatan awam ini. Perkembangan ini telah mendapat tentangan hebat daripada peguamcara kepada lima peguam yang ditahan tersebut dan juga wakil daripada Majlis Peguam, sebagai pemerhati memandangkan pada hari pendengaran pertama ia telah dibawa kepada perhatian panel pesuruhjaya dan juga pegawai yang mewakili pihak PDRM bahawa siasatan awam ini hendaklah dikendalikan hanya selepas keterangan saksi-saksi dari semua pihak direkodkan dan telah juga ditegaskan bahawa sekiranya saksi-saksi bagi pihak PDRM enggan merekodkan keterangan, maka saksi-saksi mereka hendaklah dipanggil untuk memberi keterangan lisan terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang rangkaan keterangan palsu untuk membahas keterangan saksi-saksi bagi lima peguam yang ditahan tersebut, setelah mendengar keterangan daripada mereka ini. Pada hari itu juga panel pesuruhjaya telah difahamkan bahawa semua saksi-saksi bagi pihak PDRM sedang merekodkan keterangan mereka di bilik yang berlainan. Berdasarkan 'jaminan' palsu oleh pihak PDRM ini, prosiding siasatan awam ini dimulakan dengan memanggil saksi-saksi utama pihak pengadu, iaitu Cik Puspawati Rosman dan Cik Fadiah Nadwa Fikri yang telah ditahan pada 7hb Mei 2009. Ini merupakan PEMBOHONGAN PERTAMA oleh PDRM dalam siasatan awam ini.


Panel pesuruhjaya telah memerintahkan pihak-pihak yang terlibat untuk membuat hujahan atas bidangkuasa SUHAKAM khususnya atas persoalan sama ada SUHAKAM mempunyai kuasa untuk mengarahkan dan/ atau memaksa mana-mana pihak untuk merekodkan keterangan atau SUHAKAM hanya mempunyai kuasa untuk subpoena mana-mana pihak untuk memberi keterangan lisan semasa prosiding. Setelah mendengar hujahan-hujahan daripada semua pihak yang terlibat, panel pesuruhjaya telah memutuskan bahawa mereka mempunyai kuasa untuk mengarahkan keterangan direkod atas alasan bahawa siasatan meliputi kuasa untuk merekodkan keterangan bertulis sebelum satu prosiding siasatan awam bermula. Walau bagaimanapun, panel pesuruhjaya berpandangan bahawa mereka tidak ada kuasa untuk mengkomitkan mana-mana pihak yang enggan mematuhi arahan untuk merekodkan keterangan atas kesalahan penghinaan ("contempt"). Satu persoalan yang timbul dari keputusan ini ialah, apakah gunanya kuasa untuk mengarah apabila ketidakpatuhannya itu tidak boleh diambil apa-apa tindakan terhadapnya? Ini masih menjadi satu persoalan besar sehingga kini yang tidak terjawab. Apa yang boleh disimpulkan daripada keputusan ini adalah bahawa SUHAKAM bagaikan satu harimau yang tidak bergigi.


Sepanjang prosiding siasatan awam ini, saksi-saksi angkatan polis khususnya Pegawai-pegawai Kanan seperti OCPD IPD Brickfields, Timbalan OCPD IPD Brickfields dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields, secara amnya telah menyatakan bahawa tahanan lima orang peguam tersebut adalah kononnya sah di sisi undang-undang memandangkan kelima-lima peguam ini dikatakan telah mengingkari arahan untuk bersurai yang diberikan oleh OCPD Brickfields yang mengetuai operasi pada malam 7hb Mei 2009, hari kegelapan buat profesyen guaman di Malaysia. Keterangan-keterangan yang diberi oleh anggota-anggota polis khususnya anggota penangkapan secara umumnya langsung tidak membantu dalam siasatan awam ini memandangkan mereka kesemuanya menyatakan bahawa setiap tindakan yang diambil oleh mereka pada 7hb Mei 2009 adalah atas arahan daripada pegawai atasan. Keterangan Timbalan OCPD adalah lagi mengelirukan dan menimbulkan persoalan di minda setiap orang yang hadir pada pendengaran tersebut apabila beliau menyatakan bahawa beliau tiada pengetahuan berkenaan tindakan yang akan diambil terhadap orang-orang yang ditahan pada malam 7hb Mei 2009, iaitu kumpulan 14 individu yang ditahan terlebih dahulu (anakguam-anakguam lima peguam yang ditahan tersebut), 5 peguam yang ditahan tersebut dan seorang wartawan dari Suara Keadilan terutamanya berkenaan penafian hak untuk berjumpa dengan peguam di bawah proviso seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah iaitu seksyen 28A(8). Beliau mendakwa bahawa perbincangan berkenaan tindakan-tindakan yang akan diambil terhadap orang-orang yang ditahan hanya di antara OCPD dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields. Fakta ini adalah amat tidak munasabah pada pandangan kebanyakan pihak termasuk salah seorang pesuruhjaya dalam siasatan awam ini kerana beliau sebagai Timbalan OCPD harus dan perlu untuk mengetahui perkembangan tangkapan-tangkapan yang dibuat terutamanya perkara-perkara penting seperti penafian hak untuk berjumpa peguam supaya beliau boleh ambil alih tugas OCPD pada bila-bila masa sekiranya OCPD terpaksa keluar bertugas di tempat lain. Maka kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah sama ada saksi ini tidak bercakap benar atau terdapatnya kelemahan yang ketara dalam prosedur dan pentadbiran di balai tersebut. Beliau turut mengatakan bahawa beliau tiada pengetahuan berkenaan laporan-laporan polis yang dibuat oleh peguam-peguam yang mewakili lima peguam yang ditahan tersebut apabila tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan anakguam, sesungguhpun sehingga hari pendengaran siasatan awam ini. Persoalannya ialah, apakah peranannya dalam balai tersebut apabila sebagai Timbalan OCPD, dia tidak mengetahui dan juga tidak dimaklumkan oleh pegawai bawahannya berkenaan isu-isu yang amat penting terutamanya insiden pada malam 7hb Mei 2009 tersebut sedang disiasat dalam prosiding siasatan awam ini.


PEMBOHONGAN KEDUA dibuat oleh saksi UTAMA dari pihak PDRM, iaitu OCPD IPD Brickfields apabila beliau mengatakan bahawa beliau tidak berjumpa dengan mana-mana peguam pada malam kejadian, iaitu 7hb Mei 2009 yang mengkehendaki untuk berjumpa dengan lima orang peguam yang ditahan tersebut. Beliau turut mendakwa bahawa beliau tiada pengetahuan berkenaan laporan-laporan polis yang dibuat oleh peguam-peguam yang mewakili lima peguam yang ditahan tersebut apabila tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan anakguam sehingga lah beliau diberitahu oleh pegawainya pada hari keesokannya. Keterangan Presiden Majlis Peguam, En Ragunath Kesavan bahawa beliau telah berjumpa dengan OCPD pada malam kejadian, meminta untuk berjumpa dengan lima orang peguam yang ditahan tersebut dan kemudiannya dihalau keluar dari balai oleh OCPD dengan ugutan tangkapan akan dibuat sekiranya En Ragunath dan En Puravalen yang pada ketika itu bersamanya, enggan keluar dari kawasan balai, langsung tidak dicabar oleh pihak PDRM. Panel pesuruhjaya, peguamcara bagi lima peguam yang ditahan dan peguam pemerhati dari Majlis Peguam sekali lagi dikejutkan apabila OCPD menafikan bahawa beliau pernah berjumpa dengan En Ragunath dan/ atau En Puravalen dan/ atau mana-mana peguam pada malam kejadian.


PEMBOHONGAN SATU DEMI SATU dibuat oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields semasa beliau memberi keterangan. Beliau dalam keterangannya mengatakan bahawa beliau tidak berkomunikasi dengan mana-mana daripada lima orang peguam yang ditahan dan/ atau mana-mana peguam yang ingin berjumpa dengan 14 orang individu yang ditahan sebelum itu. Apabila ditunjukkan kepadanya rekod panggilan daripada Fadiah Nadwa Fikri kepadanya pada malam kejadian, barulah beliau mengatakan bahawa memandangkan ada rekod panggilan, beliau baru 'teringat' ada bercakap dengan seseorang menerusi panggilan telefon dan dimaklumkan bahawa orang yang buat panggilan telefon tersebut mewakili 14 individu yang ditahan. Alasannya kepada penafian yang dibuat sebelum ini ialah berkemungkinan beliau telah terlupa akibat keadaan balai yang didakwa beliau pada ketika itu huru-hara dan kelam-kabut.


Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields seterusnya menafikan bahawa beliau ada berjumpa dan/ atau berkomunikasi dengan Cik Elizabeth Wong pada malam tersebut. Beliau mengatakan bahawa beliau hanya dimaklumkan oleh anggotanya bahawa kereta Cik Elizabeth Wong dihentikan di depan pintu masuk balai pada malam tersebut. Apabila ditunjukkan kepadanya gambar-gambar yang diambil oleh pegawai polis (ditandakan sebagai ekshibit dalam prosiding siasatan awam ini) yang jelas kelihatan beliau berkomunikasi dengan Cik Elizabeth Wong di pagar, barulah beliau sekali lagi cuba 'menjelaskan' bahawa beliau tidak ingat kerana telah bercakap dengan ramai orang pada malam kejadian. Pada ketika ini, keperluan untuk ditunjukkan kepada saksi pelbagai bukti-bukti nyata untuk mengingatkan saksi berkenaan fakta-fakta insiden telah menarik perhatian dan menimbulkan kerisauan pesuruhjaya-pesuruhjaya yang mendengar prosiding ini akan kebolehpercayaan saksi ini.


Apabila Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields dipanggil semula untuk disoal balas berkenaan dengan kehadiran En Ragunath bersama En Puravalen di dalam kawasan balai dan komunikasi di antara En Ragunath dan OCPD pada malam kejadian, beliau dengan yakinnya mengatakan bahawa beliau tidak berjumpa dengan mana-mana peguam dan/ atau orang awam selepas lima peguam tersebut ditahan. Beliau telah diberi banyak peluang untuk menceritakan fakta-fakta insiden tersebut yang sebenar. Beliau telah berulang kali disoal oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya sama ada beliau pasti bahawa beliau tidak berurusan dan/ atau berjumpa dan/ atau berkomunikasi dengan mana-mana peguam setelah lima peguam tersebut ditahan. Beliau dengan yakinnya menafikan berjumpa dengan sesiapa. Beliau turut menafikan bahawa beliau kenal En Ragunath dan/ atau En Puravalen sebelum dan/ atau semasa insiden tersebut. Apabila peguamcara bagi lima peguam yang ditahan tersebut mengemukakan satu klip video yang dirakam oleh wartawan Media Rakyat yang jelas menunjukkan bahawa Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields telah berkomunikasi dengan En Ragunath di pagar balai pada malam kejadian dan beliau telah membenarkan peguam-peguam untuk masuk ke kawasan balai untuk membuat laporan polis berkenaan penafian hak lima peguam yang ditahan tersebut untuk berjumpa dengan peguam mereka, sekali lagi beliau cuba untuk 'menerangkan' keterangannya yang diberi sebelum ini dengan memutarbelit keterangan yang telah diberi sebelum itu dengan mengatakan bahawa beliau sebelum ini ada mengatakan adanya kemungkinan beliau telah berjumpa dengan peguam di pagar. Apabila En Puravalen mencadangkan kepadanya bahawa beliau datang menghampiri pagar untuk bercakap dengan peguam-peguam hanya setelah beberapa panggilan telefon dibuat kepada pegawai polis tertentu di balai tersebut dan beberapa pihak yang lain, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields menafikannya dan mengatakan bahawa beliau masih berada di persekitaran bangsal kenderaan dan boleh lihat ada orang berkumpul di depan pagar, dan oleh yang demikian, beliau datang menghampiri kumpulan tersebut (termasuk En Ragunath) dan berkomunikasi dengan mereka. Apabila diminta mengemukakan rekod-rekod panggilan telefonnya dan diberitahu akan mengemukakan rekod-rekod panggilan telefon pihak-pihak yang terbabit, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields dengan segeranya cuba sekali lagi memutarbelitkan bahawa berkemungkinan besar beliau ada terima panggilan dan/ atau bercakap dengan pegawai polis tertentu sebelum menghampiri kumpulan di pagar.


Pada ketika ini, ia adalah jelas bahawa saksi ini adalah tidak jujur dan tidak boleh dipercayai. Keadaan ini telah membangkitkan kemarahan pesuruhjaya-pesuruhjaya dan salah seorang daripadanya telah membuat kenyataan bahawa ketidakjujuran saksi ini merupakan satu keaiban besar kepada angkatan PDRM dan seterusnya menyatakan bahawa ia adalah tugas pegawai yang mewakili pihak PDRM tersebut untuk menasihatkan saksi-saksinya untuk bercakap benar dalam prosiding siasatan awam ini. Saksi ini telah diberi peringatan bahawa ia adalah amat sukar untuk keterangannya dipercayai oleh panel pesuruhjaya atas alasan cubaan-cubaannya dalam mengelirukan panel pesuruhjaya dengan menafikan dan/ atau enggan menceritakan fakta-fakta insiden yang sebenar sehinggalah beliau terperangkap dengan keterangan palsu dan/ atau rekaannya apabila dikemukakan bukti-bukti nyata yang membuktikan sebaliknya.


Hasil daripada siasatan awam ini, jelas kelihatan bahawa anggota-anggota polis seringkali menolak tanggungjawab dengan menyatakan bahawa mereka hanya menurut arahan dan tidak mengetahui apa-apa berkenaan insiden-insiden yang berlaku. Bagi pegawai-pegawai kanan pula, mereka akan mula menuding jari kepada pihak lain untuk 'melarikan diri' daripada bertanggungan atas insiden-insiden yang berlaku. Ada yang pula seperti Tuan OCPD dan Tuan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields dengan terang-terang berulangkali membuat cubaan untuk memberi keterangan palsu dan/ atau menafikan sesuatu fakta yang nyata untuk mengelirukan panel pesuruhjaya sehinggalah mereka ini sendiri terperangkap dengan keterangan rekaan mereka itu. Mereka ini bagaikan pemburu yang terperangkap dalam perangkap yang dibinanya sendiri.


Apa yang perlu dirisaukan kini ialah adakah polis-polis ini, yang sepatutnya menjadi pelindung kepada orang ramai, yang kini memperkecilkan kewibawaan pesuruhjaya-pesuruhjaya SUHAKAM dengan memberi keterangan palsu dalam prosiding siasatan awam ini, masih boleh dipercayai? Adakah mereka ini terutamanya individu-individu yang kerap menjadi saksi-saksi dalam kes-kes jenayah sebagai pegawai penyiasat dan sebagainya masih boleh dipercayai? Adalah jelas kini bahawa kebolehpercayaan mereka sebagai saksi telah hancur sama sekali seperti yang kelihatan dalam siasatan awam ini, apabila seorang pegawai kanan itu adalah seorang PEMBOHONG BESAR.